Wednesday, July 14, 2010

Anak Derhaka

KUALA LUMPUR: Perbuatan anak tidak bertanggungjawab hingga memaksa ibu bapa membawa kes ke mahkamah semata-mata untuk bersua muka adalah satu antara ribuan contoh derhaka ‘moden’ yang semakin melingkari generasi masa kini.

Pakar motivasi dan penceramah bebas, Zawawi Yusoh berkata, seorang anak berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapanya dan apabila dia derhaka, ia mengundang kemurkaan Allah.


Katanya, apabila Allah murka disebabkan derhaka kepada ibu bapa, maka kehidupan seseorang itu sukar bahagia walaupun mungkin bergaji besar atau mempunyai status sosial tinggi dalam masyarakat.


“Apalah ertinya kehidupan kita di atas muka bumi ini jika Allah sudah murka sedangkan semua yang ada di dunia ini termasuk tanah yang kita pijak dan udara yang kita sedut milik Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang warga emas, Mustafa Ismail, 64, memfailkan permohonan tuntutan nafkah ke atas anaknya, Nasrun Mustafa, 37, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu dengan harapan dapat bersua muka dengan anaknya itu.


Dalam tuntutan difailkan melalui peguamnya, Fazru Anuar Yusoff, warga emas berkenaan menyatakan Nasrun meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama pada 30 Disember 1998 sebelum kedua-duanya berkahwin lain. Nasrun yang berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan gagal dihubungi bapanya menyebabkan Mustafa yang tidak bekerja dan bergantung kepada wang simpanan nekad memfailkan permohonan tuntutan di mahkamah. Zawawi berkata, tidak salah untuk ayah itu membuat tuntutan melalui mahkamah kerana ia haknya selain secara tidak langsung sudah mengambil langkah menuntutnya di dunia sebelum anaknya dituntut di akhirat kelak.


“Seorang lelaki pernah mendatangi Nabi Muhammad saw pada suatu hari dan bertanya mengenai kehendak bapanya yang mahukan hartanya, nabi menjawab ‘kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu’,” katanya.


Katanya, jawapan itu cukup untuk menunjukkan seseorang bapa itu mempunyai hak terhadap harta anaknya, maka tidak salah untuk seorang ayah membuat tuntutan di mahkamah supaya anaknya itu bertanggungjawab bukan saja terhadap ibu bapanya tetapi kepada anak-anaknya sendiri.


Zawawi berkata, pelbagai bentuk derhaka berlaku sekarang dan ia bukan semata-mata melukakan hati ibu bapa malah sikap sesetengah anak mengabaikan tanggungjawab menjaga anak sendiri dengan menyerahkan kepada ibu bapanya juga adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

No comments:

Post a Comment